Rumah Muslim sepasang doktor

Semasa kami baru lima ‘power rangers’ dulu, saya kira kehidupan kami jauh lainnya berbanding sekarang.
Mak dan abah, di klinik masing-masing; mereka akan pergi kerja seawal jam 8 dan pulang pada 10 malam. Kadang-kadang balik rumah sebentar makan tengahari.
Memang, sekarang pun masih macam itu. Cuma sekarang dah tak kerap dengan shift malam.

Dulu, masa saya darjah 2; dua abang saya darjah 5 dan 3 dan seorang adik dalam darjah 1. Semuanya di sekolah yang sama. ‘Izzah yang paling kecil ketika itu.

Tika itu, keempat-empat pelajar sekolah rendah ini akan melalui kisah yang serupa.

***
Bangun pagi. Macam-macam ragam dan gaya. Rumah akan mula hingar.
Ada yang cari stokin.
Ada yang baru nak mandi.
Ada yang baru nak kemas buku.
Kalau hari isnin, ada juga yang baru nak kapur kasut; sebab hari isnin ada perhimpunan.

Tapi yang pastinya, semua orang tak terlepas dari ‘checkpoint’ meja makan. Walaupun ada pembantu rumah yang akan sediakan makanan, mak selalunya akan turun dan pastikan kami habiskan sebiji telur separuh masak serta secawan Milo. Wajib.
Ikutlah, dah lambat macam mana pun, kena habiskan juga. Sekali telan pun, tak mengapa. Asalkan dihabiskan juga.

Hingga kalau ada cawan dan mangkuk yang masih berisi pagi itu, ia satu pemandangan yang pelik. Siapa yang tak habiskan makan pasti disoal siasat.
Lepas makan, barulah boleh terus lari pecut kejar bas sekolah. Selalunya lepas dah kena hon beberapa kali dulu.

Bila ingat balik, bukannya tak sedap. Cuma, entahlah. Jiwa budak agaknya. Teringat lagi betapa payah dan ‘reluctant’ nya saya untuk sesi pagi itu.

Kini, bila cuba cari makna tersirat, baru nampak rutin pagi mak. Walaupun dia perlu bersiap juga untuk ke tempat kerja, mak tetap akan meluangkan masa beberapa minitnya setiap pagi untuk memastikan anak-anaknya yang degil ini, dapat nutrisi sarapan secukupnya.

Dan mungkin juga sebab mak nak tengok muka kami setiap pagi dulu sebelum memulakan hari.

Kisah kami sebelah malam pula.
Waktu malam, akan ada sejenis bunyi yang sangat mengujakan kami; iaitu bunyi kereta abah masuk ke perkarangan rumah. Bunyi tayar kereta abah pijak gerigi longkang.

Serta-merta, akan ada ‘kapten’ yang menjerit, “Yeay! Mak Abah dah balik!”

Kemudian, rumah mula huru-hara lagi. Masing-masing pakai baju tidur; ada yang terus tutup televisyen dan berlari memakai kasut. Saya pula akan kelam kabut menyarung tudung. Kalau ada yang dah tertidur, nasiblah; kena tinggal.

Kami akan berpusu-pusu masuk ke dalam kereta. Abah akan tanya, “Nak pergi mana ni?”

Nanti, ada yang akan nak makan burger.
Ada yang nak aiskrim.
Ada yang diam mengikut saja.

Tanpa mematikan enjin, abah dan mak akan bawa kami keluar sebentar.
Kadang-kadang beli aiskrim atau burger dan bawa pulang makan di rumah. Pernah juga beli keropok dan duduk-duduk di tepi tasik sambil makan.

Seronok sangat!
Biasalah budak-budak. Seronok, sebab itulah masanya kami dapat makan makanan-makanan ringan dan keluar dengan mak abah.

Hingga kini pun, perasaan seronok itu masih terngiang-ngiang, walaupun dah lama tak rasa suasana itu. Bila cuba cari makna tersirat, saya nampak cermatnya cara mak dan abah luangkan masa dengan kami.
Walaupun memang singkat, tapi berharga tinggi.

Tak sempat pun mereka nak menapakkan kaki untuk berehat selepas seharian penat bekerja. Macam itu lah hampir setiap malam; hampir setiap malam lepas habis kerja.

Itu rumah muslim sepasang doktor yang saya tahu. Satu cebis kisah sepasang doktor yang bernombor satu dalam ‘ranking’ sayang dan hormat saya, dengan anak-anak mereka. Hanya sekadar pemerhatian ringkas dari seorang hasil didikan rumah tersebut.

Banyak lagi kisah dan proses bina rumah muslim ini, sepertimana saya tahu rumah muslim lain juga banyak kisah agung masing-masing.

*Hebat kan! Lama betul tak update 🙂Image

2 thoughts on “Rumah Muslim sepasang doktor

  1. bila kita kenang-kenangkan sesuatu, salah satu dari dua ni yang dominan : rindu masa lalu atau inspirasi untuk esok hari 😉

    btawfeeq exam kak ‘iffah

Leave a comment