Rumah Muslim sepasang doktor

Semasa kami baru lima ‘power rangers’ dulu, saya kira kehidupan kami jauh lainnya berbanding sekarang.
Mak dan abah, di klinik masing-masing; mereka akan pergi kerja seawal jam 8 dan pulang pada 10 malam. Kadang-kadang balik rumah sebentar makan tengahari.
Memang, sekarang pun masih macam itu. Cuma sekarang dah tak kerap dengan shift malam.

Dulu, masa saya darjah 2; dua abang saya darjah 5 dan 3 dan seorang adik dalam darjah 1. Semuanya di sekolah yang sama. ‘Izzah yang paling kecil ketika itu.

Tika itu, keempat-empat pelajar sekolah rendah ini akan melalui kisah yang serupa.

***
Bangun pagi. Macam-macam ragam dan gaya. Rumah akan mula hingar.
Ada yang cari stokin.
Ada yang baru nak mandi.
Ada yang baru nak kemas buku.
Kalau hari isnin, ada juga yang baru nak kapur kasut; sebab hari isnin ada perhimpunan.

Tapi yang pastinya, semua orang tak terlepas dari ‘checkpoint’ meja makan. Walaupun ada pembantu rumah yang akan sediakan makanan, mak selalunya akan turun dan pastikan kami habiskan sebiji telur separuh masak serta secawan Milo. Wajib.
Ikutlah, dah lambat macam mana pun, kena habiskan juga. Sekali telan pun, tak mengapa. Asalkan dihabiskan juga.

Hingga kalau ada cawan dan mangkuk yang masih berisi pagi itu, ia satu pemandangan yang pelik. Siapa yang tak habiskan makan pasti disoal siasat.
Lepas makan, barulah boleh terus lari pecut kejar bas sekolah. Selalunya lepas dah kena hon beberapa kali dulu.

Bila ingat balik, bukannya tak sedap. Cuma, entahlah. Jiwa budak agaknya. Teringat lagi betapa payah dan ‘reluctant’ nya saya untuk sesi pagi itu.

Kini, bila cuba cari makna tersirat, baru nampak rutin pagi mak. Walaupun dia perlu bersiap juga untuk ke tempat kerja, mak tetap akan meluangkan masa beberapa minitnya setiap pagi untuk memastikan anak-anaknya yang degil ini, dapat nutrisi sarapan secukupnya.

Dan mungkin juga sebab mak nak tengok muka kami setiap pagi dulu sebelum memulakan hari.

Kisah kami sebelah malam pula.
Waktu malam, akan ada sejenis bunyi yang sangat mengujakan kami; iaitu bunyi kereta abah masuk ke perkarangan rumah. Bunyi tayar kereta abah pijak gerigi longkang.

Serta-merta, akan ada ‘kapten’ yang menjerit, “Yeay! Mak Abah dah balik!”

Kemudian, rumah mula huru-hara lagi. Masing-masing pakai baju tidur; ada yang terus tutup televisyen dan berlari memakai kasut. Saya pula akan kelam kabut menyarung tudung. Kalau ada yang dah tertidur, nasiblah; kena tinggal.

Kami akan berpusu-pusu masuk ke dalam kereta. Abah akan tanya, “Nak pergi mana ni?”

Nanti, ada yang akan nak makan burger.
Ada yang nak aiskrim.
Ada yang diam mengikut saja.

Tanpa mematikan enjin, abah dan mak akan bawa kami keluar sebentar.
Kadang-kadang beli aiskrim atau burger dan bawa pulang makan di rumah. Pernah juga beli keropok dan duduk-duduk di tepi tasik sambil makan.

Seronok sangat!
Biasalah budak-budak. Seronok, sebab itulah masanya kami dapat makan makanan-makanan ringan dan keluar dengan mak abah.

Hingga kini pun, perasaan seronok itu masih terngiang-ngiang, walaupun dah lama tak rasa suasana itu. Bila cuba cari makna tersirat, saya nampak cermatnya cara mak dan abah luangkan masa dengan kami.
Walaupun memang singkat, tapi berharga tinggi.

Tak sempat pun mereka nak menapakkan kaki untuk berehat selepas seharian penat bekerja. Macam itu lah hampir setiap malam; hampir setiap malam lepas habis kerja.

Itu rumah muslim sepasang doktor yang saya tahu. Satu cebis kisah sepasang doktor yang bernombor satu dalam ‘ranking’ sayang dan hormat saya, dengan anak-anak mereka. Hanya sekadar pemerhatian ringkas dari seorang hasil didikan rumah tersebut.

Banyak lagi kisah dan proses bina rumah muslim ini, sepertimana saya tahu rumah muslim lain juga banyak kisah agung masing-masing.

*Hebat kan! Lama betul tak update 🙂Image

merajuk!

Sudah dua tiga hari saya tenung langit itu.
*
Suatu hari, saya minta dari Dia supaya jaga saya. Sebab saya takut. Sangat takut.

Tapi, saya tetap terpelosok jatuh terbongkang kedalam jurang dosa yang sama.

Saya merajuk.
Kenapa Dia tak jaga saya?
Saya malu.
Dah terlalu banyak kali terjatuh.
Saya takut.
Entah-entah selepas ini saya bakal jatuh lagi. Entah-entah Dia sudah tak terima.

Saya merajuk; hati penuh dengan persoalan.
*

[berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi..]
Al-Hadiid:21

Sudah dua tiga hari saya tenung langit itu.
Cari dimana garisan akhir langit itu.
Supaya boleh saya tengok luasnya antara langit dan bumi.

Tak jumpa.
***

“The believing heart assumes the best of its Lord, and always expects the best from Him. It
expects good from Him in times of ease and times of hardship, and it believes that Allah
wants good for him in either situation. The secret of this is that his heart is connected to
Allah, and the flow of good from Allah is never cut off. So, whenever the heart is connected
to Him, it touches upon this fundamental reality and experiences it in a direct and sweet
way.”
-fi dzilal al qur’an- 

p/s: tak percaya; susah betul nak dapatkan pdf dzilal bahasa melayu di Mesir ini. *sigh*

sekilas

Orang yang berjaya adalah orang yang ada akal berfikir yang sihat.
Lebih berjaya lagi orang yang yakin dengan fikirnya itu dan berani menyatakannya.
Lebih berjaya lagi orang yang matang susunan katanya dan berupaya menarik orang lain bersetuju dan berfikir sama.
Lebih berjaya lagi orang yang bijak meraikan pendapat orang lain dan tidak membuat mereka enggan menyatakan pendapat sendiri.

Johan keseluruhan adalah mereka yang sepanjang erti-erti kejayaan ini; malah beristighfar, sentiasa menjadikan Allah disisinya dan memulangkan segala kejayaan dan kemenangan padaNya

kehidupan

Ini fundamental sebuah kehidupan bagi aku.

***

Suatu hari, terjentik dalam hati bahawa aku mahu menjadi seorang yang bersyukur.

Latar kehidupan keluarga aku serba serbi kekurangan. Kami tujuh bersaudara, dan abah hanyalah seorang kerani. Sering kali aku iri melihat orang lain yang sentiasa dalam kecukupan dan kemewahan. Cukup dan mewah dari segi wang, harta benda, juga didikan agama. Tak mengapa, aku bersyukur. Aku tak salahkan siapa-siapa pun bila keluarga aku tak mampu menampung pembelajaran agamaku. Paling kurang, aku tahu solat dan puasa. Juga zikir sikit-sikit. Ada manusia yang bahkan serba serbi kekurangan lagi dari aku. Aku mahu bersyukur.

Pelajaran aku di universiti tidak cemerlang. Sahabat karibku merupakan pelajar terbaik di kelas, dan aku sudah banyak kali mencetak gaya belajarnya. Biarpun begitu, aku tak pernah memperoleh gred yang baik sepertinya, walhal aku telah pun mencuba sehabis kudrat. Entahlah, tak tahu masalahnya di mana. Tapi, syukur. Aku belum pernah gagal setakat ini. Orang Melayu kata, keputusan aku ’cukup-cukup makan’ sahaja. Walaupun abah pesan supaya jangan mudah berpuas hati dengan keputusan serupa itu, tak salah bila aku masih tetap mahu memanjatkan syukur.

Umurku semakin mendekati suku abad. Akan tetapi, aku masih lagi terkial-kial memasak di dapur. Masakan orang lain mungkin terlebih masin atau manis; masakan yang aku masak selalunya pahit. Menjahit; senget. Mengemas pula, macam tikus yang cuba membaiki kerosakan sebiji labu. Abah pernah berkata, perempuan yang belajar tinggi-tinggi, akhirnya kemahiran paling penting adalah pengurusan rumahtangga. Setiap hari aku cuba memperbaiki kemahiran-kemahiran ini, tapi zahirnya tiada pembaikan pun. Tapi tidak mengapa, aku bersyukur. Setidak-tidaknya, masakanku masih boleh dimakan walaupun kurang sedap. Syukur.

Aku ini sering sahaja sakit. Termasuk hari ini, sudah 3 kali dalam minggu ini aku tidak hadir ke kelas. Hari ini sakit perut, mungkin kerana masakanku semalam. Kelmarin pula aku demam, mungkin kerana hujan tempoh hari. Aku sering bawa bekalan ubat batuk dan selesema ke mana-mana, kerana tubuhku yang begitu sensitif terhadap perubahan cuaca. Abah pernah beritahu bahawa akulah anaknya yang menjuarai kekerapan jatuh sakit semasa kecil. Tapi, abah kata dia bersyukur kerana aku tiada penyakit yang berbahaya pun. Aku ikut bersyukur. Bukankah ramai lagi orang lain yang ada masalah kesihatan yang lebih teruk?

Aku bersyukur atas segala-galanya. Aku bersyukur dengan keadaan baik dan buruk yang menimpa hidupku, dan aku berazam untuk kekal dalam kesyukuran. Syukur, wahai Tuhan.

*

Hari ini cuaca nampak mendung. Awan gelap berarak ditiup angin seraya berkepul menyelubungi langit. Aku mengeluh. Hujan selalu membuatkan aku tak sedap badan.
Peperiksaan subjek kimia dua jam lagi.

Malangnya, hari ini juga aku perlu memasak. Kawan serumah dan aku datang dari kampung yang sama; kami bukan orang berada. Peruntukan wang belanja kami tak mencukupi untuk berbelanja makan di luar. Kalau dapur tak berasap, terpaksalah kami mengikat perut.

Aku mula memotong sayur; walaupun belum terbayang lagi lauk apa yang akan aku masak. Mungkin aku boleh cuba masak kari. Apa-apa pun, mencuba atau tidak, sama sahaja. Bukannya aku tahu memasak dengan baik pun. Tidak mengapalah. Teringat semula untuk bersyukur.

Sambil bermonolog, tiba-tiba aku terasa pedih. Rupa-rupanya aku tak sengaja terhiris jari sendiri. Sakitnya! Bagaimana aku hendak menulis dalam dewan peperiksaan nanti? “Tak mengapa. Syukur! Nasib baik tak terpotong terus jari ni!” Aku menyambung monolog tadi.

Selesai memasak, aku terima mesej dari abah yang mengucapkan selamat. Hati yang runsing menjadi sedikit lega. Aku terus berkejar ke dewan yang telah pun separa penuh. Jari masih terasa pedih, tapi masih boleh aku gunakan untuk menulis. Sambil menulis dan berpeluh, aku terbersin beberapa kali dan mula menghidap selesema. Cuaca pun tak mahu kasihani aku nampaknya! Tak mengapa. Aku berkeras untuk terus lagi bersyukur.

Dua bulan berlalu, keputusan peperiksaan kimia telah ditampal di papan kenyataan. Seperti yang dijangka, aku lulus; dengan hanya dua angka sahaja di atas paras gagal. Sedih. Walhal aku telah memaksimumkan keringat untuk belajar habis-habisan pada peperiksaan kali ini. Ada dua buah buku tambahan yang aku beli dengan wang yang abah kirimkan dari kampung. Abah kata, wang itu selalunya dia gunakan untuk membeli ubat sakit kepalanya. Oleh kerana baru-baru ini sakit kepalanya terasa kurang, abah suruh aku gunakan wang tersebut.

Tapi kenapa wahai Tuhan, aku masih belum mampu untuk memperoleh markah yang cemerlang?

Syukur. Aku masih mampu untuk tetap bersyukur.

Hari ini tanggal 23 April. Aku terima mesej dari abang. Abang suruh aku pulang ke kampung, kerana abah akan dikuburkan pagi esok. Abah meninggal kerana dilanggar lori. Pak Ahmad yang melihat kemalangan tersebut berkata, abah tak dapat mengawal motosikalnya, kemudian dilanggar oleh lori dari arah bertentangan. Abang kata, hari itu, abah ada mengadu sakit kepala, tapi abah tetap juga keluar bermotosikal.

*

Mampu kah aku untuk bersyukur pada detik ini, di garisan ini? Wahai Tuhan. Aku berazam untuk bersyukur. Aku menyemai janji untuk tetap dan terus bersyukur. Engkau pula terus menagih janji itu. Engkau datangkan ujian untuk menguji keteguhan azam itu. Aku ini pula berjaya mengotakan janji; sehinggalah sampai pada garisan ini.

Inilah dia rupanya garisan penentu. Engkau tahu kelemahanku dan di mana garis akhirku. Di sinilah sebenar-benar ujian, untuk mendapatkan gelaran ‘Orang Yang Bersyukur’ dari Engkau.

***

Inilah gambaran fundamental sebuah kehidupan bagi aku. Gantikanlah ‘bersyukur’ dengan apa sahaja; amanah dengan kewangan rumah, khusyuk dalam solat, tidak mencaci maki orang yang dibenci, bersungguh-sungguh menyebarkan ajaran agama, menjaga kehormatan dari percampuran dengan bukan muhrim, atau apa-apa saja lagi sifat keimanan yang lain. Janji yang kita calitkan akan sentiasa Allah tagih.

Akhir sekali, penamat cerita adalah karya diri sendiri. Kita yang memilih sama ada untuk bersifat teguh atas janji itu ataupun tidak. Kuat itu ukurannya teguh. Hiduplah dengan kuat.

[Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? 2:29]

#ini adalah hasil karangan saya untuk sebuah pertandingan.<http://amfmansoura.blogspot.com/2012/04/winner-ink-of-keyboards-bm.html&gt;

senyum atas kematian

Satu ketika dulu, sebuah berita kematian hinggap di telinga saya. Allahyarhamah merupakan seorang senior yang pernah berkongsi sebuah kehidupan dengan saya di sekolah. Terhasil dalam gambaran minda saya wajah beliau yang masih kemerah-merahan. Susah mempercayai pemergian beliau. (Moga beliau terus dalam kasih Allah).
Kisah kematian ini buat saya jadi sayu. Sewaktu kami masih boleh menutur kalimah-kalimah zikir ma’thurat di sekolah, beliau sudah tak dapat berbuat amalan yang sama. Talian untuk beliau menambahkan berat pahala telah terputus.

Begitulah umumnya fundamental sebuah kematian.

Ia sebuah garisan akhir yang memutuskan dari dunia. Ia permulaan ‘sesi evaluasi dan pementasan hasil’. Alam akhirat akan bermula.

Hidup akhirat kita bergantung pada rahmat dan sayang Allah pada kita, bukannya 100% pada amalan baik kita semata-mata. Walaupun begitu, kitalah yang memilih untuk berusaha memiliki kasih sayang Allah dengan berbuat seperti yang Dia suruh, menjauhi apa yang Dia larang. Jadi, kehidupan akhirat yang baik atau buruk boleh dipilih dan dicipta.

***
Kematian benar-benar boleh berlaku bila-bila.

Saya selaku pelajar perubatan, melihat ramai pesakit kronik yang tanpa sengaja terlupa satu hakikat. Pesakit kronik yang menghidapi kesakitan-membawa-mati sebenarnya diberi tempoh oleh Allah; dalam mencapai tarikh kematian yang dijangka, mereka dapat mengisinya dengan amalan-amalan yang membantu hidup akhirat mereka nanti.
Tidaklah nanti mereka menghadapi kematian dengan ketakutan dan penyesalan, bilamana mereka gunakan masa yang ada dengan maksimum.

Kata kunci; berdepanlah dengan kematian sambil mengimani Hari Hisab.

Itu kasih Allah yang tidak dilimpahkan pada mereka yang tidak berpenyakit; yang boleh mati bila-bila tanpa amaran awal; tanpa tempoh bersedia.

Jadi, sebagai seorang yang mempunyai kesihatan, tidakkah kita juga mampu mencipta sebuah kematian yang penuh senyuman? Menghadapi kematian dengan lega dan penuh rasa rindu? Mendepani kematian dengan tiada rasa penyesalan?

 

  • Cipta kematian dengan iringan doa. Pilihlah dan lakarlah bentuk kematian yang diinginkan; dan ‘hantarkan’ pada Allah dalam doa. Lakaran yang terbaik telahpun diajar kepada kita (husnul khatimah). Ada juga diceritakan kisah seorang zuhud yang berdoa dimatikan disaat wang yang ada padanya habis; ada sahabat Nabi s.a.w sendiri berdoa agar syahid dalam keadaan dipanah di anggota-anggota tertentu.
  • Lekas-lekas lah menyempurnakan hutang dan tanggungjawab. Kalaupun tak sempat melengkapkannya, sebaiknya kita telah bersungguh. Walhal; tanggungjawab memang terlalu banyak. Jadi, cuba untuk sentiasa mengingati hakikat ini dan elakkan terlupa dan lalai, agar seharian penuh kita adalah menuju ke arah melengkapkannya. Kawan, sahabat dan saudara sangat kuat berperanan di sini.
  • Sentiasa anggarkan bahawa amalan kita masih kurang. Letak gambaran dacing pahala dan dosa yang masih berat sebelah di depan mata. Adakah Allah menerima solat, dakwah, taalim dan segala amalan kita? Adakah Allah telah menyambut kita kembali dan menerima taubat kita dari dosa yang pernah dibuat dahulu?

***

Dan akhir sekali, saya tak tahu adakah mungkin untuk mencipta sebuah kematian yang bebas penyesalan.

Diceritakan dalam matan sebuah hadis bahawa; seorang yang syahid di jalan Allah pun akan berkeinginan untuk kembali semula ke dunia dan syahid semula berikutan ganjarannya yang sangat hebat.

*Ini lah agaknya rahsia para syuhada’ yang mati dalam sebuah senyuman. Mereka telah menamatkan hidup dunia mereka dengan menyelesaikan tanggungjawab tertinggi; meng’izzah dan mempertahankan agama.

wAllahu’alam

ketika cinta

bila dengar versi Opick; ‘sangat sedap didengar’
bila dengar versi Datuk Siti Nurhaliza; ‘wah. agak seram sejuk sikit’

bila dengar versi Rabbani…
sebak; lagi2 part  “rindu, rindu, rindu qalbu. memanggil manggil namaMu..”

 

 

Allah, berkenanlah untuk menerima kami dan amalan kami.

beberapa bulan berlalu

Maaf,
memang sudah beberapa bulan saya tak dapat menghasilkan apa2 entri baru.

Semester kali ini bukanlah lebih menarik dari pembelajaran2 sebelum ini. (dalam erti kata; yang sebelumnya tak menarik)
Nak cakap lebih banyak kesibukan…saya bukan pernah sibuk pun.

Dan saya masih sahaja punya idea2 untuk dimuntahkan.

Tak tahulah~
🙂