ketika cinta

bila dengar versi Opick; ‘sangat sedap didengar’
bila dengar versi Datuk Siti Nurhaliza; ‘wah. agak seram sejuk sikit’

bila dengar versi Rabbani…
sebak; lagi2 part  “rindu, rindu, rindu qalbu. memanggil manggil namaMu..”

 

 

Allah, berkenanlah untuk menerima kami dan amalan kami.

Advertisements

beberapa bulan berlalu

Maaf,
memang sudah beberapa bulan saya tak dapat menghasilkan apa2 entri baru.

Semester kali ini bukanlah lebih menarik dari pembelajaran2 sebelum ini. (dalam erti kata; yang sebelumnya tak menarik)
Nak cakap lebih banyak kesibukan…saya bukan pernah sibuk pun.

Dan saya masih sahaja punya idea2 untuk dimuntahkan.

Tak tahulah~
🙂

menjadi ibu seorang ‘Sayyid Qutb’

Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepada ku dengan al-Quran ini… Ya, Dia bercakap kepada ku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?

Mana mungkin ada yang tidak mengenali tokoh mufasir agung ini. Paling kurang pun, pasti ramai yang pernah menyelak lembaran karya beliau ‘Tafsir Fi Zilal Al Qur’an’. Lahir di daerah Asyut, Mesir pada tahun 1906; beliau adalah As Syahid Sayyid Ibn Qutb Ibrahim.

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?

Tanpa disangkal lagi, biarpun bermacam-macam tuduhan yang beliau lalui, tiada yang boleh menafikan ketelitian perasaan, ketajaman pemikiran dan kebagusan akademik dan lenggok mata pena beliau. Malah, walaupun setelah kesyahidan nya, nama Sayyid Qutb semakin masyhur dalam pahatan hasil dan karya-karya peninggalan beliau.

***

Peribadi dan kelebihan yang sebegini agung merupakan sebuah kurnia dan tanda kekuasaan Allah s.w.t. Apa-apa pun, sudah pasti ia dibentuk dari awal dengan penuh halus, ditempa berhati-hati dengan acuan yang menyeluruh; hingga terhasil sebentuk peribadi dan jiwa yang begitu menyentuh. Pernah kah kita terfikir untuk menyelak sedikit latar belakang tokoh ini; dalam erti kata lain, cuba menyelidiki sekelumit ‘resipi rahsia’ kemantapan peribadi ini?

“Ibunya juga seorang yang bertakwa dan mencintai al-Quran. Ketika majlis-majlis tilawah al-Quran diadakan di rumahnya, ia mendengar dengan penuh khusyuk’, dengan seluruh perasaan dan jiwanya. Pemandangan ini begitu melekat dalam ingatan anaknya Sayyid Qutb yang masih kecil di waktu itu dan menjadi kenangan yang manis dalam usia selanjutnya sehingga beliau pernah berangan-angan mempunyai suara yang merdu dan lunak seperti para qari untuk memperdengarkan tilawah al-Qur’an kepada ibunya yang mencintai al-Qur’an, tetapi beliau tidak sedar bahawa takdir Ilahi tidak melahirkannya untuk menjadi seorang qari yang bersuara emas, malah untuk menjadi seorang mufasir yang agung di zamannya.

Beliau telah menghafal al-Qur’an sejak dalam usianya yang belum mencecah sepuluh tahun dan dengan itu beliau telah merealisasikan cita-cita dan impian ayah dan ibu yang dikasihi dan beliau telah merakamkan hutang budi keduanya yang telah menanam benih-benih kecintaan kepada al-Qur’an di dalam kata persembahan dua buku karya sulungnya yang terkenal di dalam pengajian al-Qur’an”

SUBHANALLAH.

Mungkin boleh kita cuba bayangkan, bagaimana As-Syahid yang masih kecil boleh begitu terkesan dengan sesuatu yang amat dicintai ibunya, dan akhirnya tersemat sebentuk azam yang begitu mengesani hidupnya. Dan, itulah rupanya antara tempoh dan peristiwa terawal dalam pembinaan jiwa mufasir agung ini; jiwa yang hidup dan menghidupkan.

Bukan mudah sebenarnya bagi seorang anak kecil yang sinonim dengan permainan dan gurauan untuk memerhati dan terkesan; melainkan apabila pemandangan tersebut sangat menzahirkan kesukaan orang yang dicintainya.

Bukan mudah bagi seorang anak untuk jiwanya tersemai cita-cita yang sebegitu murni; melainkan kerana adanya suasana dan tarbiah di rumah yang sangat membantu.

Bukan mudah juga untuk menjaga semaian agar semuanya berterusan bertumbuh subur; melainkan kerana ada unsur yang bantu membina kematangan faham dan ketajaman akal.

.

Kisah yang hanya secubit ini menjadi dalil keagungan tarbiah di sebuah Baitul Muslim. Lebih-lebih lagi peranan dari seorang akhawat; yakni sebagai ibu. Seorang ukht seharusnya mendominasi langkah-langkah penting dalam pendidikan anak. Bahkan, persediaan yang rapi seharusnya disusun sebelum melangkah ke fasa Baitul Muslim lagi; iaitu dengan mentarbiah dan membentuk peribadi diri.

Ibu yang berperibadi Al-Qur’an lebih masuk akal untuk mempunyai seorang anak yang juga berperibadi Al-Qur’an.

Kesimpulan yang ingin saya utamakan:

1. Akhawat memegang posisi yang sangat penting dalam kitaran penerusan dakwah dan tarbiah. Kalau boleh dikesan, watak utama yang ingin diketengahkan kali ini bukan lagi Sayyid Qutb Rahimahullah, tetapi seorang yang menjadi antara penyumbang terbesar dalam jalan cerita kehidupan dan kemantapan seorang Sayyid Qutb; ibu beliau.

2. Cinta bukan mudah untuk dipupuk atau diolok-olokkan. Kecintaan yang nipis pula jarang dapat dizahirkan, tidak mungkin mengesankan. Belajarlah sekuatnya untuk mencintai Allah, rasulNya dan kalamNya; nescaya tiada pulangan melainkan yang menguntungkan sahaja.

Banyak lagi kesimpulan bukan utama yang boleh diambil. Semuanya memang bukan mudah, tapi boleh :).

Dan sebaik-baik ganjaran adalah bagi orang yang beramal.

[p/s: ini artikel yang saya niatkan supaya disiarkan di laman lain, tapi mungkin tak memenuhi kriteria dan tahap kebagusan. tapi, saya masih perlu menyampaikan ide ini. ]

duhai hambaNya

Kepenatan-kepenatan kamu, maka rahsiakanlah.Moga Allah mengurniakan kamu ikhlas.

Nikmat-nikmat yang dikurniakan padamu, maka kisahkanlah. Moga Allah mengurniakan kamu syukur.

Doa-doa kamu, maka berkongsilah. Moga Allah mengurniakan antara kamu kasih sayang.

Kesedihan-kesedihan kamu, maka mengadulah padaNya. Moga Allah mengurniakan kamu redha.

Keputusan-keputusan kamu, maka pada Dia bergantunglah. Moga Allah mengurniakan kamu tawakal.

Keinginan-keinginan kamu, maka mintalah padaNya. Moga Allah mengurniakan kamu qana3ah.

Ke3aiban-ke3aiban kamu, maka sembunyikanlah. Moga Allah mengurniakan kamu al-3iffah.

Setiap satu kebaikan-kebaikan itu, maka rebutlah. Moga Allah mengurniakan kepada kamu rahmahNya.

Satu persatu noda-noda kesalahan itu, maka mintalah pengampunan akannya. Moga Allah mengurniakan kamu maghfirahNya.

Segenap peluang-peluang kecil kejahatan itu, maka berlarilah jauh-jauh. Moga Allah mengurniakan kamu ‘Itq Min Naar

Dia Yang Maha Memberi, walau Berkuasa Mengambil

24 Julai 2011

Pagi itu mereka terlewat sedikit; sepatutnya jam 6.30 pagi sudah turun menunggu ‘ammu teksi dibawah. Jam menunjukkan pukul 7 bila mereka selesai bersiap dan melangkah keluar. Teha minta pada ‘ammu supaya tolong bawa turun sebuah kotak yang paling besar dan berat dari rumah di tingkat 4. Mereka tak larat.

Sambil ‘ammu memasukkan dan menyusun kotak-kotak Teha yang akan pulang ke Malaysia pada petang itu ke dalam bonet teksi, Ida tiba dari kedai runcit dengan membawa sarapan yang akan dimakan dalam perjalanan ke lapangan terbang nanti.

Nurul mengambil tempat di belakang pemandu, Ida di tengah dan Teha paling kanan. Dalam perjalanan, seperti biasa, mereka berborak-borak kecil sesama sendiri.

‘Ammu yang dari tadi lebih banyak mendiamkan diri, tiba-tiba bertanyakan perihal penerbangan petang itu pada mereka. Lalu bermula pula borak-borak mereka dengan ‘ammu. Namanya Walid. Yang paling menarik, ‘Ammu Walid bertutur dalam bahasa arab fusha. Seperti juga kebanyakan orang Mesir, apabila ditanyakan perihal keluarga, ‘Ammu Walid bersemangat mengeluarkan dompetnya untuk menunjukkan pada mereka foto dua orang cahaya matanya; Maryam dan Ahmad.

‘Ammu Walid tidak berborak terlalu panjang. Borak-borak mereka bertiga juga terhenti tidak lama selepas itu, apabila masing-masing berasa mengantuk lalu tertidur.

8-9am

Nurul tersedar. Dah tiba di Kaherah ni, bisik hatinya. Dari matanya, dia lihat pergerakan kereta macam dalam game. ‘Ammu Walid memotong ke kanan ke kiri dengan laju. Tapi Nurul tak rasa apa-apa. ‘Adiyy. Orang Mesir. Kereta ‘Ammu Ahmad pun nampaknya begitu. Mereka berdua ni berlumbakah? ‘Ammu Ahmad merupakan tuan teksi yang dibawa ‘Ammu Walid. ‘Ammu Ahmad juga dari Mansurah. Dia bawa kereta matrix, ada pelajar Mansurah lain yang dia bawa ke lapangan terbang.

Nurul lihat Ida sudah sedar dari tidurnya. Dia meminta sebuku roti untuk dimakan. Sambil mengunyah perlahan, dia melihat ke skrin hadapan. Nurul tahu kubri ini. Setiap kali melaluinya, akan terdetik dalam hati bahawa kubri yang satu ini tinggi. Tapi dia tak tahu nama tempatnya.

Kereta masih laju. Kubri ini bukannya straight, perlu pusing ke kiri.

***

Tiba di pusingan ke kiri tersebut, Nurul nampak ‘Ammu Walid memusing stereng ke kiri dengan tiba-tiba dan pantas. Keadaan mula jadi cemas. ‘Ammu Walid memusing-musing stereng cuba stabilkan kereta. Ammu Walid brek, bunyi kereta jadi terseret. Kereta terputar beberapa kali, dan terbalik. Mereka sempat merasakan keadaan kereta terbalik upside-down sebelum ia berhenti statik pada kedudukan terbalik ke sisi. Orang paling kanan jadi orang paling bawah.

Dalam kereta, Nurul blank. Tak tahu apa yang dia nampak. Nurul hanya tertangkap kelibat baju yang dipakai Teha dan Ida. Arah yang mana satu kaki, mana satu kepala, dia tak tahu. Tak tahu bila dan macam mana, tapi Nurul tahu ‘Ammu Walid sudah tiada dalam kereta. Mereka hanya bertiga.

Dalam semua gerakan-gerakan yang berlaku, Nurul tiba-tiba sudah berada di tempat sebelah pemandu, tak tahu macam mana dia boleh tiba-tiba di situ. Kereta dah statik, terbalik ke sisi. Keadaan dalam kereta senyap. Nurul nampak orang di luar, ada yang mengisyaratkan supaya jangan keluar dari kereta.

Nurul ok?, tiba-tiba Teha bersuara. Nurul tak jawab. Dia masih blank; dia terus melihat normal tapi tak ada isyarat yang diterima otaknya.

Hanya setelah beberapa saat, tiba-tiba kereta sudah diterbalikkan semula. Kereta berdiri semula atas tayar, Nurul terduduk di tempat sebelah pemandu. Tiba-tiba ada tangan dari tingkap mencapai dan menarik hand-brake. Mereka bertiga keluar.

Tanpa cedera sedikitpun.

Orang-orang Mesir sudah ramai di sekeliling. Merekalah yang terbalikkan semula kereta tadi. Di luar, Teha dan Nurul berdiri di tepi jalan. Ida kutip barang dan cari kasutnya. Kenderaan-kenderaan lain sudah banyak berhenti. Orang-orang turun membantu. Semuanya sibuk berperanan. Ada yang mengutip barang-barang yang bersepah dan memasukkannya semula ke dalam kereta. Ada yang menghulurkan air. Yang lain, beramai-ramai menolak kereta ke bahu jalan. Dekat saja dengan penghadang tepi jalan. Tak tahulah sewaktu kereta terbalik tadi dekat macam mana. Lebih dekat untuk jatuh ke bawah kubri, yang pasti.

Orang-orang itu semuanya sejak dari tadi tak berhenti-henti mengucapkan ‘Alhamdulillah’

Teha dan Nurul memandang adegan-adegan seterusnya dari tepi. ‘Ammu Walid cedera di tapak tangan, berdarah. Beberapa ketika kemudian, ‘Ammu Ahmad tiba. Dia menghentikan keretanya dan keluar membantu. Teksi yang dibawa ‘Ammu Walid, yang sudah kemek sedikit itu, ‘Ammu Ahmad yang punya. Dua pelajar lelaki yang dibawa ‘Ammu Ahmad juga keluar dari kereta dan membantu mengalihkan barang-barang Teha ke kereta matrix ‘Ammu Ahmad.

Ida datang dan mengagihkan barang masing-masing yang dia kutip tadi pada Nurul dan Teha.

Nurul ok?, Teha bersuara tiba-tiba. Nurul yang masih terkejut, terus tak sengaja jadi sebak dan menangis. Dia tak tahu kenapa.

Mereka berlima, bersama dua pelajar lelaki tadi terus dibawa ‘Ammu Ahmad ke airport beberapa minit kemudian, dengan kereta matrix ‘Ammu Ahmad. Berhimpit. Barang pun banyak. Tapi selamat tiba. Teha bersalam dan berpelukan dengan Ida dan Nurul sebelum berpisah, sambil mengucapkan maaf, ‘sebab Teha yang minta korang teman,’katanya.

Perjalanan pulang ke Mansurah, Ida dan Nurul tak tidur langsung. Tapi penuh bayangan-bayangan ngeri. ‘Ammu Ahmad yang bawa mereka pulang. ‘Ammu Ahmad tak habis-habis tanya mereka kalau-kalau ada apa-apa yang cedera. Dia nampak bersalah. Dia juga marah, sedih dan risau. Tak tahu sebenarnya dia rasa apa, tapi bacaan pada muka ‘Ammu Ahmad nampak begitu. Bila saling bercerita, Ida kata Teha nampak ‘Ammu Walid tadi sebenarnya leka dengan telefon bimbitnya, sehingga dia tak sedar perlu pusing kiri.

Dalam perjalanan juga, Nurul dan Ida mesej memberitahu keadaan itu pada kawan-kawan dan mak ayah. Nurul dimarahi ayahnya. Nurul tahu ayah risau sangat.

[seperti yang diceritakan semula oleh Nurul. Hanya apa yang dia rasa, yang dia nampak, dia alami]

p/s: karangan ini akan jadi terlalu panjang kalau saya cerita kisah-kisah selanjutnya. Sebab itu bila buat karangan di sekolah~ada had perkataan. Ada yang tak perlu ditulis

 *’ammu= pakcik, ‘adiyy=biasa, kubri=jambatan/fly-over

 

teguran- berkadar langsung dari Dia

Balik dari sebuah kedai serbaneka, sambil menjinjing beberapa beg plastik berisi makanan barang keperluan.

Musim peperiksaan selalu begini; mahukan sumber tenaga, tanpa mahu berganjak langsung dari meja belajar. Jadi perlu ada bekalan-bekalan makanan yang mudah dan laju. (jangan tiru!)

Berjalan melepasi sepasang pakcik dan makcik tua yang sedang duduk-duduk. Pasangan suami isteri kira saya. Tanpa menoleh, saya terus berjalan laju agar cepat sampai ke rumah. Setelah beberapa meter melepasi mereka, tiba-tiba saya dipanggil. “Pssssss!”(Oh, ini memang cara memanggil orang dikalangan masyarakat setempat. Mudah dan jimat suara kan? 😉 )

Saya menoleh. Pakcik melambai-lambai tangannya gaya ‘ke sini lah’

“Ada apa-apa untuk aku tak?” sambil kedua-duanya tersenyum mesra.

((“Eh! Aku tak kenal pun pakcik ni. Tak pernah nampak pun. Macam mana ni? Nak bagi apa ni?”))

“Tiada lah. Maaf!” sambil senyum menahan malu, dan terus berlalu.

*

Bersediakah aku untuk infak dan mengorbankan; pada bila-bila masa? Terhadap siapa-siapa saja? Dalam mana-mana keadaan pun; senang atau susah? Dengan apa-apa pun, bahkan sesuatu yang sangat aku sayangi?

Bersediakah aku untuk sepantas kilat menghadirkan niat infak itu, dengan sepantas kilat?

Memang teguran, direct dari Allah.

p/s: perasan tak ayat ‘..musim peperiksaan selalu begini..’ di perenggan kedua di atas?
Betul, tolong do’akan ya! 🙂

jangan pernah

adakah engkau mengira bahawa engkaulah empunya segenap 1001 kejelasan atas jalan dakwah itu, sebelum datangnya 2002 kekeliruan dan persoalan?

adakah engkau mengira bahawa engkau mempunyai sebentuk ukhuwah fIllah yang sempurna, sebelum datangnya kecacatan-kecacatan yang menghodohkan?

adakah engkau mengira bahawa engkau dirahmati Allah sebuah toriq kehidupan yang cantik, lancar dan lurus, sehinggalah satu demi satu nakbah dilemparkan padamu?

adakah engkau mengira bahawa engkau memiliki segunung kesabaran yang ampuh, sehinggalah engkau digegarkan dengan gegaran maha dahsyat yang boleh meretakkan bumi dan membelah lautan?

adakah engkau mengira bahawa engkau dikurniakan Allah kekuatan dan kekentalan seorang perajurit singa yang bisa menggetarkan walau dengan satu ngauman, sehinggalah engkau dilawankan dengan sekumpulan tentera yang setiap seorang mereka mempunyai kekuatan yang sama?

adakah engkau mengira bahawa engkaulah pemilik cintaNya yang agung, sehinggalah engkau dipanah dari segenap sudut dengan dugaan-dugaan yang menggeletarkan iman dan ‘aqidah?

adakah engkau mengira bahawa engkaulah pemegang erat janji dan bai’ah yang tak mungkin akan longgar itu, sehinggalah dihunuskan pada urat lehermu sebilah pedang yang menyuruh engkau berpaling?

adakah engkau mengira bahawa engkau punya jiwa yang penuh mengandungi ketenangan dan salamah, sehinggalah engkau didatangkan ujian hidup bertubi-tubi yang membuatmu menangis teresak-esak tanpa mampu berhenti?

[ adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan ‘kami telah beriman’, dan mereka tidak diuji? ]               al-3ankabut:2