kehidupan

Ini fundamental sebuah kehidupan bagi aku.

***

Suatu hari, terjentik dalam hati bahawa aku mahu menjadi seorang yang bersyukur.

Latar kehidupan keluarga aku serba serbi kekurangan. Kami tujuh bersaudara, dan abah hanyalah seorang kerani. Sering kali aku iri melihat orang lain yang sentiasa dalam kecukupan dan kemewahan. Cukup dan mewah dari segi wang, harta benda, juga didikan agama. Tak mengapa, aku bersyukur. Aku tak salahkan siapa-siapa pun bila keluarga aku tak mampu menampung pembelajaran agamaku. Paling kurang, aku tahu solat dan puasa. Juga zikir sikit-sikit. Ada manusia yang bahkan serba serbi kekurangan lagi dari aku. Aku mahu bersyukur.

Pelajaran aku di universiti tidak cemerlang. Sahabat karibku merupakan pelajar terbaik di kelas, dan aku sudah banyak kali mencetak gaya belajarnya. Biarpun begitu, aku tak pernah memperoleh gred yang baik sepertinya, walhal aku telah pun mencuba sehabis kudrat. Entahlah, tak tahu masalahnya di mana. Tapi, syukur. Aku belum pernah gagal setakat ini. Orang Melayu kata, keputusan aku ’cukup-cukup makan’ sahaja. Walaupun abah pesan supaya jangan mudah berpuas hati dengan keputusan serupa itu, tak salah bila aku masih tetap mahu memanjatkan syukur.

Umurku semakin mendekati suku abad. Akan tetapi, aku masih lagi terkial-kial memasak di dapur. Masakan orang lain mungkin terlebih masin atau manis; masakan yang aku masak selalunya pahit. Menjahit; senget. Mengemas pula, macam tikus yang cuba membaiki kerosakan sebiji labu. Abah pernah berkata, perempuan yang belajar tinggi-tinggi, akhirnya kemahiran paling penting adalah pengurusan rumahtangga. Setiap hari aku cuba memperbaiki kemahiran-kemahiran ini, tapi zahirnya tiada pembaikan pun. Tapi tidak mengapa, aku bersyukur. Setidak-tidaknya, masakanku masih boleh dimakan walaupun kurang sedap. Syukur.

Aku ini sering sahaja sakit. Termasuk hari ini, sudah 3 kali dalam minggu ini aku tidak hadir ke kelas. Hari ini sakit perut, mungkin kerana masakanku semalam. Kelmarin pula aku demam, mungkin kerana hujan tempoh hari. Aku sering bawa bekalan ubat batuk dan selesema ke mana-mana, kerana tubuhku yang begitu sensitif terhadap perubahan cuaca. Abah pernah beritahu bahawa akulah anaknya yang menjuarai kekerapan jatuh sakit semasa kecil. Tapi, abah kata dia bersyukur kerana aku tiada penyakit yang berbahaya pun. Aku ikut bersyukur. Bukankah ramai lagi orang lain yang ada masalah kesihatan yang lebih teruk?

Aku bersyukur atas segala-galanya. Aku bersyukur dengan keadaan baik dan buruk yang menimpa hidupku, dan aku berazam untuk kekal dalam kesyukuran. Syukur, wahai Tuhan.

*

Hari ini cuaca nampak mendung. Awan gelap berarak ditiup angin seraya berkepul menyelubungi langit. Aku mengeluh. Hujan selalu membuatkan aku tak sedap badan.
Peperiksaan subjek kimia dua jam lagi.

Malangnya, hari ini juga aku perlu memasak. Kawan serumah dan aku datang dari kampung yang sama; kami bukan orang berada. Peruntukan wang belanja kami tak mencukupi untuk berbelanja makan di luar. Kalau dapur tak berasap, terpaksalah kami mengikat perut.

Aku mula memotong sayur; walaupun belum terbayang lagi lauk apa yang akan aku masak. Mungkin aku boleh cuba masak kari. Apa-apa pun, mencuba atau tidak, sama sahaja. Bukannya aku tahu memasak dengan baik pun. Tidak mengapalah. Teringat semula untuk bersyukur.

Sambil bermonolog, tiba-tiba aku terasa pedih. Rupa-rupanya aku tak sengaja terhiris jari sendiri. Sakitnya! Bagaimana aku hendak menulis dalam dewan peperiksaan nanti? “Tak mengapa. Syukur! Nasib baik tak terpotong terus jari ni!” Aku menyambung monolog tadi.

Selesai memasak, aku terima mesej dari abah yang mengucapkan selamat. Hati yang runsing menjadi sedikit lega. Aku terus berkejar ke dewan yang telah pun separa penuh. Jari masih terasa pedih, tapi masih boleh aku gunakan untuk menulis. Sambil menulis dan berpeluh, aku terbersin beberapa kali dan mula menghidap selesema. Cuaca pun tak mahu kasihani aku nampaknya! Tak mengapa. Aku berkeras untuk terus lagi bersyukur.

Dua bulan berlalu, keputusan peperiksaan kimia telah ditampal di papan kenyataan. Seperti yang dijangka, aku lulus; dengan hanya dua angka sahaja di atas paras gagal. Sedih. Walhal aku telah memaksimumkan keringat untuk belajar habis-habisan pada peperiksaan kali ini. Ada dua buah buku tambahan yang aku beli dengan wang yang abah kirimkan dari kampung. Abah kata, wang itu selalunya dia gunakan untuk membeli ubat sakit kepalanya. Oleh kerana baru-baru ini sakit kepalanya terasa kurang, abah suruh aku gunakan wang tersebut.

Tapi kenapa wahai Tuhan, aku masih belum mampu untuk memperoleh markah yang cemerlang?

Syukur. Aku masih mampu untuk tetap bersyukur.

Hari ini tanggal 23 April. Aku terima mesej dari abang. Abang suruh aku pulang ke kampung, kerana abah akan dikuburkan pagi esok. Abah meninggal kerana dilanggar lori. Pak Ahmad yang melihat kemalangan tersebut berkata, abah tak dapat mengawal motosikalnya, kemudian dilanggar oleh lori dari arah bertentangan. Abang kata, hari itu, abah ada mengadu sakit kepala, tapi abah tetap juga keluar bermotosikal.

*

Mampu kah aku untuk bersyukur pada detik ini, di garisan ini? Wahai Tuhan. Aku berazam untuk bersyukur. Aku menyemai janji untuk tetap dan terus bersyukur. Engkau pula terus menagih janji itu. Engkau datangkan ujian untuk menguji keteguhan azam itu. Aku ini pula berjaya mengotakan janji; sehinggalah sampai pada garisan ini.

Inilah dia rupanya garisan penentu. Engkau tahu kelemahanku dan di mana garis akhirku. Di sinilah sebenar-benar ujian, untuk mendapatkan gelaran ‘Orang Yang Bersyukur’ dari Engkau.

***

Inilah gambaran fundamental sebuah kehidupan bagi aku. Gantikanlah ‘bersyukur’ dengan apa sahaja; amanah dengan kewangan rumah, khusyuk dalam solat, tidak mencaci maki orang yang dibenci, bersungguh-sungguh menyebarkan ajaran agama, menjaga kehormatan dari percampuran dengan bukan muhrim, atau apa-apa saja lagi sifat keimanan yang lain. Janji yang kita calitkan akan sentiasa Allah tagih.

Akhir sekali, penamat cerita adalah karya diri sendiri. Kita yang memilih sama ada untuk bersifat teguh atas janji itu ataupun tidak. Kuat itu ukurannya teguh. Hiduplah dengan kuat.

[Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? 2:29]

#ini adalah hasil karangan saya untuk sebuah pertandingan.<http://amfmansoura.blogspot.com/2012/04/winner-ink-of-keyboards-bm.html&gt;

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s