Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepada ku dengan al-Quran ini… Ya, Dia bercakap kepada ku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?
Mana mungkin ada yang tidak mengenali tokoh mufasir agung ini. Paling kurang pun, pasti ramai yang pernah menyelak lembaran karya beliau ‘Tafsir Fi Zilal Al Qur’an’. Lahir di daerah Asyut, Mesir pada tahun 1906; beliau adalah As Syahid Sayyid Ibn Qutb Ibrahim.
Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?
Tanpa disangkal lagi, biarpun bermacam-macam tuduhan yang beliau lalui, tiada yang boleh menafikan ketelitian perasaan, ketajaman pemikiran dan kebagusan akademik dan lenggok mata pena beliau. Malah, walaupun setelah kesyahidan nya, nama Sayyid Qutb semakin masyhur dalam pahatan hasil dan karya-karya peninggalan beliau.
***
Peribadi dan kelebihan yang sebegini agung merupakan sebuah kurnia dan tanda kekuasaan Allah s.w.t. Apa-apa pun, sudah pasti ia dibentuk dari awal dengan penuh halus, ditempa berhati-hati dengan acuan yang menyeluruh; hingga terhasil sebentuk peribadi dan jiwa yang begitu menyentuh. Pernah kah kita terfikir untuk menyelak sedikit latar belakang tokoh ini; dalam erti kata lain, cuba menyelidiki sekelumit ‘resipi rahsia’ kemantapan peribadi ini?
“Ibunya juga seorang yang bertakwa dan mencintai al-Quran. Ketika majlis-majlis tilawah al-Quran diadakan di rumahnya, ia mendengar dengan penuh khusyuk’, dengan seluruh perasaan dan jiwanya. Pemandangan ini begitu melekat dalam ingatan anaknya Sayyid Qutb yang masih kecil di waktu itu dan menjadi kenangan yang manis dalam usia selanjutnya sehingga beliau pernah berangan-angan mempunyai suara yang merdu dan lunak seperti para qari untuk memperdengarkan tilawah al-Qur’an kepada ibunya yang mencintai al-Qur’an, tetapi beliau tidak sedar bahawa takdir Ilahi tidak melahirkannya untuk menjadi seorang qari yang bersuara emas, malah untuk menjadi seorang mufasir yang agung di zamannya.
Beliau telah menghafal al-Qur’an sejak dalam usianya yang belum mencecah sepuluh tahun dan dengan itu beliau telah merealisasikan cita-cita dan impian ayah dan ibu yang dikasihi dan beliau telah merakamkan hutang budi keduanya yang telah menanam benih-benih kecintaan kepada al-Qur’an di dalam kata persembahan dua buku karya sulungnya yang terkenal di dalam pengajian al-Qur’an”
SUBHANALLAH.
Mungkin boleh kita cuba bayangkan, bagaimana As-Syahid yang masih kecil boleh begitu terkesan dengan sesuatu yang amat dicintai ibunya, dan akhirnya tersemat sebentuk azam yang begitu mengesani hidupnya. Dan, itulah rupanya antara tempoh dan peristiwa terawal dalam pembinaan jiwa mufasir agung ini; jiwa yang hidup dan menghidupkan.
Bukan mudah sebenarnya bagi seorang anak kecil yang sinonim dengan permainan dan gurauan untuk memerhati dan terkesan; melainkan apabila pemandangan tersebut sangat menzahirkan kesukaan orang yang dicintainya.
Bukan mudah bagi seorang anak untuk jiwanya tersemai cita-cita yang sebegitu murni; melainkan kerana adanya suasana dan tarbiah di rumah yang sangat membantu.
Bukan mudah juga untuk menjaga semaian agar semuanya berterusan bertumbuh subur; melainkan kerana ada unsur yang bantu membina kematangan faham dan ketajaman akal.
.
Kisah yang hanya secubit ini menjadi dalil keagungan tarbiah di sebuah Baitul Muslim. Lebih-lebih lagi peranan dari seorang akhawat; yakni sebagai ibu. Seorang ukht seharusnya mendominasi langkah-langkah penting dalam pendidikan anak. Bahkan, persediaan yang rapi seharusnya disusun sebelum melangkah ke fasa Baitul Muslim lagi; iaitu dengan mentarbiah dan membentuk peribadi diri.
Ibu yang berperibadi Al-Qur’an lebih masuk akal untuk mempunyai seorang anak yang juga berperibadi Al-Qur’an.
Kesimpulan yang ingin saya utamakan:
1. Akhawat memegang posisi yang sangat penting dalam kitaran penerusan dakwah dan tarbiah. Kalau boleh dikesan, watak utama yang ingin diketengahkan kali ini bukan lagi Sayyid Qutb Rahimahullah, tetapi seorang yang menjadi antara penyumbang terbesar dalam jalan cerita kehidupan dan kemantapan seorang Sayyid Qutb; ibu beliau.
2. Cinta bukan mudah untuk dipupuk atau diolok-olokkan. Kecintaan yang nipis pula jarang dapat dizahirkan, tidak mungkin mengesankan. Belajarlah sekuatnya untuk mencintai Allah, rasulNya dan kalamNya; nescaya tiada pulangan melainkan yang menguntungkan sahaja.
Banyak lagi kesimpulan bukan utama yang boleh diambil. Semuanya memang bukan mudah, tapi boleh
.
Dan sebaik-baik ganjaran adalah bagi orang yang beramal.
[p/s: ini artikel yang saya niatkan supaya disiarkan di laman lain, tapi mungkin tak memenuhi kriteria dan tahap kebagusan. tapi, saya masih perlu menyampaikan ide ini. ]